DATUK ONG KIM SWEE DILANTIK SEBAGAI PENGARAH TEKNIKAL NFDP YANG BAHARU
Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember 2025.
Perkara ini diumumkan secara rasminya oleh Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 Disember 2025.
Keputusan untuk melantik Kim Swee bagi mengisi jawatan tersebut terdahulu telah pun dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
Kim Swee, 55, yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon paling sesuai bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal NFDP berdasarkan reputasi dan pengalaman luas beliau sebelum ini sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda dan kemuncaknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.
Antara kejayaan Kim Swee dalam karier kejurulatihan ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.
Selain itu, Kim Swee juga pernah menggalas tugas sebagai Ketua Unit Belia FAM, Penolong Pengarah Teknikal FAM dan juga Pengarah Teknikal FAM pada 2021.
Di peringkat kelab pula, bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu menjadi ketua jurulatih Melaka pada permulaan karier kejurulatihannya pada 2005 serta menjadi ketua jurulatih Sabah FC dari Oktober 2021 hingga November 2024, sebelum berkelana ke Indonesia sebagai ketua jurulatih Persis Solo dari November 2024 hingga Jun 2025 dan Persik Kediri dari Jun hingga November 2025, sebelum kembali ke tanah air untuk menerima tawaran sebagai Pengarah Teknikal NFDP.
Diharap Kim Swee dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara selaku peneraju baharu NFDP dengan perancangan dan pelaksanaan program-program yang lebih berkesan bagi memulihkan kembali kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi.