SIARAN MEDIA: KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM KALI KE-11 BAGI PENGGAL 2017-2021
2020-07-21
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ini telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Antara keputusan yang telah dicapai Jawatankuasa Eksekutif FAM adalah seperti berikut:
1. Penetapan Tarikh Kongres FAM 2020
Telah disahkan penetapan tarikh bagi Kongres Tahunan Kali Ke-56 FAM yang akan diadakan pada Sabtu, 29 Ogos 2020 di Hilton Petaling Jaya bermula jam 10.00 pagi.
2. Pelantikan Empat Ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM
Telah diluluskan pelantikan seorang pengerusi dan tiga pegawai berkecuali menganggotai jawatankuasa bebas ini yang dibentuk bagi memastikan proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 pada Kongres FAM 2021 dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak di dalam industri atau keluarga bola sepak Malaysia.
Jawatankuasa Pemilihan ini dibentuk dalam usaha FAM bagi memastikan sistem pemilihan FAM adalah selaras dengan amalan (tadbir urus yang baik dan transparensi) yang diguna pakai oleh AFC dan FIFA.
3. AFL Sah Diserahkan Kepada FAM
Telah disahkan keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk menyerahkan Amateur Football League (AFL) iaitu badan pengendali Liga M3 dan M4 kepada FAM.
4. Penyelarasan Dan Pindaan Statut Ahli Gabungan FAM
Telah diluluskan cadangan pindaan Statut FAM bagi memastikan statut di peringkat Ahli Gabungan FAM dapat diselaraskan dengan apa yang wujud dalam Statut FAM supaya ia selari dengan FAM, AFC dan FIFA.
Pindaan Statut FAM ini turut mengambil kira konsep pemisahan di antara Persatuan Bola Sepak (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
21 Julai 2020